SELAMAT DATANG KE PORTAL SK SERI MAWAR
Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Khamis, 16 April 2009

Hoki MSSD (R) Sabak Bernam 2009 ( P) Bawah 12 Tahun

16 April -Laporan hari kedua.

Alhamdulillah cuaca hari ini baik dan cerah. Namun begitu keadaan padang masih lagi becak. Kalau semalam hanya air yang bertakung tapi hari ini, lumpur telah naik ke permukaan padang. Sebelum aksi bermula kelihatan sekumpulan pengadil yang budiman menimba air bercampur lumpur di hadapan gol untuk memastikan perlawanan berjalan dengan lancar. Tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga di atas usaha dan inisiatif pengadil-pengadil yang budiman ini.
Detik di hati membisikkan , para pemain hari ini akan berbedakkan lumpur. Detik hati itu akhirnya menjadi kenyataan apabila aksi pertama bermula antara pasukan tuan rumah iaitu SK. Seri Mawar menentang pasukan SK. Seri Utama. Padang yang berlumpur mengakibatkan para pemain lebih banyak memukul lumpur jika dibandingkan dengan memukul bola. Lebih mengharukan apabila bola tersekat di lopak lumpur. Masing-masing mempamerkan aksi ala-ala 'membajak sawah' mengakibatkan lumpur terpercik dan menghiasi muka para pemain. Apapun itulah hakikat yang terpaksa di terima oleh semua pasukan. Kita hanya mampu merancang, Allah jua yang menentukan. Keputusannya perlawanan antara SK. Seri Mawar menentang SK. Seri Makmur seri tanpa jaringan.
Aksi kedua menyusul . SK Seri Mawar sekali lagi turun dan kali ini menentang pasukan SK Simpang Lima. Permainan yang dipamerkan agak menarik dengan serangan bertubi-tubi kali ke arah kubu SK Seri Mawar. Namun SK Seri Mawar kebal menyerap asakan lawan. Di penghujung aksi kubu SK Seri Mawar bocor juga. Keputusannya SK Simpang Lima berjaya menewaskan SK Seri Mawar dengan jaringan 1 - 0.
Aksi ketiga yang juga merupakan aksi terakhir adalah antara SK Simpang Lima menentang SK Seri Makmur. Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Sama hebat, sama kuat maklumlah kedua dua pasukan ini dilatih oleh sepasang suami isteri (Encik Samad Yahya dan pasangannya). Sama-sama tidak mahu mengaku kalah, akhirnya keputusannya berkesudahan seri 1 - 1.
Berdasarkan keputusan-keputusan ketiga-tiga perlawanan , johan telah disandang oleh SK Simpang Lima mengumpul 4 mata hasil satu kemenangan dan satu seri. Naib johan pula disandang oleh SK Seri Makmur dan SK Seri Mawar menduduki tempat yang ketiga. Keputusan ini sebenarnya telah mengulangi keputusan pasukan lelaki yang dilangsungkan semalam.


Johan SK Simpang Lima


Majlis penutupan rasmi dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Haji Saroni bin Tasuki yang mewakili Pegawai Pelajaran Daerah Sabak Bernam. Dalam ucapannya, Tuan Haji Saroni bin Tasuki menaruh harapan yang tinggi agar pemain hoki yang terpilih mewakili Daerah Sabak Bernam ke kejohanan peringkat Negeri Selangor dapat menunjukkan prestasi yang terbaik dan seterusnya dapat mengharumkan nama Daerah Sabak Bernam.
Tetamu Yang Hadir

Ucapan Perasmian Penutup oleh Tuan Haji Saroni Tasuki

Upacara Penyampaian Hadiah


Pemain Hoki Daerah Sabak Bernam (P) Bawah 12 Tahun
Setelah dua hari berhujan dan berpanas, akhirnya pada pukul 1.20 petang Kejohanan Hoki MSSD (R) Sabak Bernam 2009 melabuhkan tirai dengan pengumuman 18 orang pemain yang berjaya terpilh mewakili Sabak Bernam. Tahniah dan syabas diucapkan. Dibahu anda kini tergalas nama Sabak Bernam yang perlu anda harumkannya di Kejohanan Peringkat Negeri.

Penyokong Fanatik SK Seri Mawar

Candid - Nak interframe juga.


Di kesempatan ini, pihak urusetia kejohanan ingin merakamkam setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kejohanan ini. Mohon maaf di atas segala kekurangan. Bawalah pulang segala kenangan yang manis dan indah di SK Seri Mawar dan ceritakanlah ke seluruh alam. Sebaliknya ,tinggalkanlah sahaja kenangan yang pahit dan pedih tuan/puan di pintu pagar SK Seri Mawar agar kami dapat membuangkannya jauh-jauh dari hati dan sanubari. Mohon maaf sekali lagi dan terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan