SELAMAT DATANG KE PORTAL SK SERI MAWAR
Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Khamis, 30 Julai 2009

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)

Tiga orang warga SK Seri Mawar telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) untuk tahun perkhidmatan 2008 baru-baru ini. Mereka ialah Encik Halib bin Setan, Encik Borhan Nordin bin Dimyati dan Encik Mohd Feisal bin Mohd Pop. Majlis tersebut telah dilangsungkan pada 29 Ogos 2009 (Rabu) di Dewan SAM Muhammadiah , Sabak Bernam. Anugerah telah disampaikan oleh Tuan Pengarah Pelajaran Selangor. Syabas dan tahniah diucapkan. Semoga pengiktirafan yang diterima akan dapat meningkatkan lagi semangat untuk terus berjuang dalam mendidik anak-anak bangsa.



Encik Halib bin Setan, Ecik Mohd Feisal bin Mohd Pop & Encik Borhan Nordin bin Dimyati.

Rabu, 22 Julai 2009

Juruteknik ICT (FT17)

Baru-baru ini SK Seri Mawar telah menerima seorang lagi kakitangan baru. Seorang Juruteknik ICT (FT17) telah ditempatkan di SK Seri Mawar. Kakitangan yang dimaksudkan ialah Encik Firdaus bin Zainuddin. Berkelulusan diploma dari Politeknik Shah Alam dan berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang. Nampaknya ringan sedikitlah tugas yang ditanggung oleh Penyelaras Makmal ICT sekarang ini. Alhamdulillah.....Selamat datang dan selamat bertugas di SK Seri Mawar diucapkan kepada Encik Firdaus. Hang jangan kalut noooo......

Berikut adalah bidang tugas Juruteknik Komputer FT17.



BIDANG TUGAS JURUTEKNIK KOMPUTER FT17

1. Membantu merancang, mengurus, menyelia dan melaksanakan penggunaan kemudahan infrastruktur teknologi untuk menjalankan aktiviti-aktiviti Sekolah Bestari seperti:

• Penggunaan Sistem Pengurusan Sekolah Bestari (Smart School Management System atau SSMS) untuk pengurusan sekolah.

• Penggunaan Bahan-bahan Pengajaran dan Pembelajaran (Teaching Learning Materials atau TLM atau Courseware) dalam pengajaran dan pembelajaran.

• Akses Internet

1.1 Melapor dan bertanggungjawab kepada Guru Penyelaras Bestari.

1.2 Membantu memastikan rangkaian LAN dan WAN berjalan dengan baik setiap hari termasuk peralatan rangkaian router, modem dan sebagainya.

1.3 Menyedia inventori bagi kemudahan infrastruktur teknologi yang dibekalkan.

1.4 Membantu menyenggara kemudahan infrastruktur teknologi yang dibekalkan.

1.5 Menjalankan penyenggaraan preventive bagi peralatan IT dan bukan IT.

1.6 Membantu mengurus akaun pengguna dan e-mel.

1.7 Memastikan kesemua kemudahan Infrastruktur Teknologi berada keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

1.8 Memastikan kebersihan dan keselesaan persekitaran bilik di mana kemudahan infrastruktur teknologi ditempatkan.

1.9 Memastikan garis panduan/peratuan/tatacara penggunaan kemudahan infrastruktur teknologi dipatuhi.

1.10 Membantu menyediakan keperluan infrastrutur teknologi untuk kegunaan guru dan membantu serta membimbing mereka sewaktu menggunakannya dalam aktiviti Sekolah Bestari.

1.11 Mengenal pasti masalah yang timbul sama ada masalah berkaitan dengan perkakasan, Sistem Pengoperasian Rangkaian atau Perisian seperti Sistem Pengurusan Sekolah Bestari dan Bahan Pengajaran-Pembelajaran serta menyelesaikan masalah tersebut.

1.12 Membantu merancang dan menguruskan pembelian bahan habis guna (consumables).

1.13 Menjalankan kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan komputer yang rosak.

2. Memastikan keselamatan Kemudahan Infrastruktur Teknologi dan Data.

2.1 Memastikan keselamatan kemudahan infrastruktur teknologi melalui langkah-langkah berikut:

2.1.1 Memastikan bilik pelayan hanya dimasuki oleh pihak diberi kuasa sahaja.

2.1.2 Memastikan alat hawadingin yang dibekalkan berfungsi dengan baik.

2.1.3 Memastikan alat pemadam api berada dalam keadaan baik dan berada di tempat yang telah dikenalpasti.

2.2 Memastikan keselamatan data melalui langkah-langkah berikut:

2.2.1 Memastikan komputer bebas dari virus.

2.2.2 Membantu membuat backup dan replikasi maklumat apabila diarahkan oleh Guru Penyelaras Bestari.

3. Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh pengurusan sekolah dari semasa ke semasa.

Isnin, 20 Julai 2009

Lawatan Ke Kuala Lumpur

Jika biasanya pelajar yang menyertai lawatan, kini giliran guru dan kakitangan SK Seri Mawar pula yang menyertainya. Lawatan sambil belajar... huhuhu.. Lokasinya Kuala Lumpur. Teringat pula zaman kecik-kecik di sekolah rendah dulu. Alangkah seronoknya apabila dapat menyertai lawatan ke Kuala Lumpur. Malam tak boleh tidur, dan yang paling 'best' siap bawa bekal ketupat lagi haha...

Lawatan ini sebenarnya ditaja sepenuhnya oleh bapa angkat SK Seri Mawar iaitu Yang Berbahagia Dato' Dzulkifli bin Ismail . Terima kasih daun keladi Dato'.
Lokasi pertama adalah KLCC. Ada yang mendongak hingga sakit tengkuk melihat ketinggian KLCC. Masing-masing berhajat untuk 'shoping' di Suria KLCC, tapi apakan daya cuma dapat 'shoping' mata dan melenguhkan sendi-sendi lutut sahaja sebab barangan di sana hanya layak dibeli oleh dewa-dewa kayangan sahaja huhu... Buang hajat kecil pun kena bayar RM2.00.

Selesai di KLCC kami bertolak ke Putrajaya. Selepas solat Zuhur kami menuju ke medan selera di dataran Putrajaya. Sekali lagi terkejut beruk. Harga makanan dan minumannya juga bertaraf dewa-dewa. ABC (Air Batu Campur) sahaja berharga RM 6.50 semangkuk. Kalau di sini boleh dapat 3 mangkuk tu . Ada baki lagi 50 sen.. huhu.... Belum makanannya lagi. Akibatnya, masing-masing membatalkan niat untuk mengisi perut yang dah berirama. Kebanyakkannya hanya memesan segelas air. Jadilah...

Kemuncak kepada lawatan adalah ke kediaman Dato' Dzul di Sungai Ramal Baru, Kajang. Setibanya di sana kami disambut mesra oleh Dato' dan Datin sekeluarga. Kami juga dijamu dengan pelbagai aneka makanan. Menu yang paling best sekali tentulah Sate Kajang. Sesuai dengan perut yang dah lama berbunyi, secucuk demi secucuk sate menjadi mangsa. Sedar tak sedar bercucuk-cucuk lidi sate dah bertimbun di atas meja. Alhamdulillah.

Terima kasih buat Dato' sekeluarga....terima kasih kepada semua yang menjayakan lawatan ini.

Kami bertolak pulang dan sampai ke SK Seri Mawar pada pukul 10.00 malam.

Jumaat, 10 Julai 2009

Jamuan Kesyukuran dan Perpisahan Cikgu Mokhtar bin Mahmod

10 Julai 2009 merupakan hari terakhir Cikgu Moktar bin Mahmod bertugas di SK Seri Mawar. Beliau telah dinaikkan pangkat menjawat GPK Kokurikulum di SK Padang Jawa, Kelang. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Cikgu Mokhtar bin Mahmod.

Cikgu Mokhtar bin Mahmod & baksonya.

Mensyukuri kenaikan pangkat itu , Cikgu Mokhtar telah menjamu rakan-rakan guru dan staff SK Seri Mawar dengan jamuan "bakso'. Nampaknya bakso telah menjadi menu popular di sini kerana ini adalah kali kedua bakso menjadi santapan 'free' kami untuk majlis kesyukuran. Kepada Cikgu Mokhtar, terima kasih atas jamuan ini. Selamat bertugas di sekolah baru. Selamat menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya sebagai GPK Kokurikulum. Apa yang diharapkan, semoga persahabatan yang telah terbina bersama keluarga di SK Seri Mawar selama ini akan terus berkekalan hingga akhirnya.

Ahad, 5 Julai 2009

Kempori Pengakap PPM Sabak Bernam 2009

Pada 3 hingga 5 Julai 2009 pasukan pengakap SK Seri Mawar telah menyertai Kempori Pengakap PPM Sabak Bernam yang diadakan di Tapak Perkhemahan SBPI Sabak Bernam. Perkhemahan yang berlangsung selama 3 hari 2 malam itu telah disertai oleh 6 orang PKK (pengakap kanak-kanak) bersama 2 orang pemimpin. Mereka ialah , Kamarul Syakir bin Kamaruddin, Mohd Zikri Afifi bin Azlan, Mohd Soleh bin Sulong Anuar, Mohd Nukman bin Kamarul Zaki, Alif Aiman bin Mujab dan Abdul Razak bin Sulong Anuar. Mereka telah diiringi oleh dua orang pemimpin iaitu Encik Azmon bin Amat Kamari dan YM Raja Zainalabidin bin Raja Mahmud.
Syakir, Zikri, Soleh, Aiman,Nukman dan Razak


Berbagai aktiviti telah dijalankan semasa perkhemahan tersebut. Antaranya adalah seperti kawad kaki, kembara (ikhtiar hidup), asas radio amatur, malam pengakap, ikatan dan simpulan dan pertolongan cemas.Tidak dilupakan program pengisisan rohani seperti bacaan Surah Yassin, sembahyang berjemaah dan kuliah subuh juga telah mengisi sebahagian daripada program perkhemahan tersebut. Tahniah dan syabas kepada 6 orang pengakap kanak-kanak ini kerana mereka telah menunjukkan kesungguhan yang tinggi dalam menjalankan aktiviti yang diprogramkan. Walaupun pada malam kedua perkhemahan mereka telah dipukul ribut dan hujan lebat hingga menerbangkan khemah pemimpin, namun itu semua tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berkhemah. Semoga pengalaman yang dikutip semasa perkhemahan ini serba sedikit akan dapat mematangkan anda dalam meneruskan kehidupan ini. Tepuk, tepuk, pengakap.....................